Oleh Maryam KJ, RHom (Mal), MSc (Medical Sciences)
Nurbisa × Homeopathy Integrasi
Pernah tak, ketika sedang nyenyak tidur, tiba-tiba betis mengeras sehingga sukar hendak meluruskan kaki? Ada yang terpaksa bangun, berdiri sambil berpaut pada dinding atau menarik hujung kaki untuk melegakan kesakitan. Walaupun kekejangan hanya berlangsung beberapa minit, betis mungkin masih sengal sehingga keesokan hari.
Apabila kita mengadu masalah ini, antara nasihat yang biasa didengar ialah, “Mungkin kurang magnesium. Cuba makan magnesium.” Memang benar magnesium penting untuk fungsi otot dan saraf, tetapi bagaimana jika seseorang sudah mengambil magnesium setiap hari namun masih mengalami kekejangan? Bagaimana pula jika kekejangan bermula selepas mengambil ubat tertentu atau melakukan aktiviti fizikal yang berat?
Sebenarnya, kekejangan otot melibatkan pelbagai proses fisiologi. Magnesium mungkin memainkan peranan, tetapi tidak semua kekejangan berpunca daripada kekurangan mineral tersebut.
Mengapa Otot Boleh Tiba-tiba Mengeras?
Pergerakan otot dikawal oleh isyarat daripada sistem saraf. Apabila kita berjalan atau mengangkat sesuatu, otot menerima arahan untuk mengecut dan kemudian mengendur. Proses ini berlaku secara berterusan tanpa kita sedari.
Ketika kekejangan berlaku, otot mengecut secara tiba-tiba dan kuat tanpa kita sengajakan. Dalam perubatan, kekejangan yang berlaku ketika tidur atau berehat dikenali sebagai nocturnal leg cramps. Ia paling kerap melibatkan betis, tetapi boleh berlaku pada tapak kaki atau paha. Kebanyakan episod berlangsung beberapa saat hingga beberapa minit, manakala rasa sengal boleh berlarutan lebih lama.
Menariknya, punca khusus kekejangan malam sering tidak dapat dikenal pasti. Perubahan aktiviti saraf yang mengawal pengecutan otot dipercayai memainkan peranan penting, selain faktor kesihatan dan fizikal tertentu.
Magnesium Penting, Tetapi Bukan Satu-satunya Mineral
Fungsi otot memerlukan kerjasama beberapa mineral. Kalsium membantu proses pengecutan otot, manakala natrium dan kalium terlibat dalam penghantaran isyarat elektrik pada saraf serta sel otot. Magnesium pula membantu mengawal aktiviti saraf dan otot, selain terlibat dalam penggunaan tenaga.
Tenaga ini dibekalkan melalui ATP (adenosine triphosphate). Otot bukan sahaja memerlukan tenaga untuk mengecut, tetapi juga untuk mengendalikan semula kalsium supaya pengecutan dapat dihentikan. Banyak proses yang menggunakan ATP bergantung kepada magnesium.
Oleh itu, magnesium bukan sekadar mineral untuk merehatkan otot seperti yang sering digambarkan dalam iklan suplemen. Kekurangan magnesium yang ketara memang boleh mengganggu fungsi neuromuskular, tetapi otot yang kejang tidak semestinya menunjukkan seseorang mengalami kekurangan magnesium. Gangguan kalium, kalsium dan faktor lain juga boleh mempengaruhi fungsi otot.
Mengapa Kekejangan Lebih Kerap Berlaku Apabila Usia Meningkat?
Kekejangan boleh berlaku pada semua peringkat usia, termasuk dalam kalangan atlet dan wanita hamil. Namun, kekejangan malam menjadi lebih lazim apabila seseorang semakin berusia.
Antara faktor yang mungkin menyumbang ialah pengurangan jisim dan kekuatan otot, kurang aktiviti fizikal, perubahan pengambilan nutrien serta penggunaan ubat secara berterusan. Sesetengah individu juga mengalami perubahan penyerapan magnesium atau peningkatan kehilangan mineral melalui buah pinggang.
Sebagai contoh, kekejangan pada seseorang berusia 68 tahun yang mengambil beberapa jenis ubat mungkin mempunyai faktor penyumbang yang berbeza daripada individu berusia 30 tahun yang mengalami kekejangan selepas menyertai acara larian. Walaupun gejalanya hampir sama, pendekatan yang diperlukan tidak semestinya serupa.
Ubat Darah Tinggi, Kolesterol dan Gastrik Juga Perlu Diperhatikan
Sesetengah ubat boleh mempengaruhi keseimbangan mineral atau menyebabkan gejala yang melibatkan otot. Antara kumpulan yang berkaitan ialah diuretik, statin dan ubat gastrik jenis proton pump inhibitors (PPI).
Diuretik dan kehilangan mineral
Diuretik digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi, pengekalan cecair dan beberapa penyakit jantung. Ubat seperti furosemide dan hydrochlorothiazide boleh meningkatkan kehilangan magnesium serta kalium melalui air kencing.
Jika kehilangan mineral berlaku secara berlebihan, seseorang mungkin mengalami kelemahan atau kekejangan otot. Kekurangan magnesium juga boleh menyebabkan paras kalium yang rendah menjadi lebih sukar diperbetulkan.
Namun, tidak semua diuretik mempunyai kesan yang sama. Spironolactone dan amiloride, misalnya, mengurangkan kehilangan kalium dan boleh menyebabkan parasnya meningkat dalam keadaan tertentu. Oleh itu, apabila kekejangan muncul selepas penggunaan diuretik, jenis ubat, fungsi buah pinggang dan paras elektrolit mungkin perlu dinilai sebelum menambah suplemen.
Statin dan gejala otot
Statin digunakan untuk mengurangkan kolesterol LDL dan risiko penyakit kardiovaskular. Sesetengah pengguna mengalami sakit otot, kelemahan atau kekejangan, yang termasuk dalam kumpulan statin-associated muscle symptoms(SAMS).
Berbeza daripada diuretik tertentu, gejala otot akibat statin tidak berpunca terutamanya daripada kehilangan magnesium. Mekanismenya lebih kompleks dan boleh melibatkan fungsi sel otot. Jika gejala bermula selepas memulakan statin atau mengubah dos, doktor boleh menilai kemungkinan hubungan tersebut, termasuk melakukan ujian creatine kinase (CK) apabila diperlukan. Masalah tiroid, interaksi ubat dan aktiviti fizikal juga perlu dipertimbangkan.
Ubat gastrik dan magnesium
Penggunaan jangka panjang ubat PPI seperti omeprazole dan esomeprazole boleh menyebabkan paras magnesium rendah pada sesetengah individu. Kekurangan yang ketara boleh menyebabkan kelemahan, kekejangan dan gangguan lain. Oleh itu, sejarah penggunaan ubat gastrik juga relevan apabila seseorang mengalami kekejangan berulang.
Kaki Kejang Selepas Bersenam atau Banyak Berpeluh
Kekejangan ketika atau selepas aktiviti fizikal dikenali sebagai exercise-associated muscle cramps. Keletihan otot dan perubahan kawalan saraf dianggap antara faktor penting, manakala kehilangan air dan garam melalui peluh mungkin menyumbang dalam keadaan tertentu.
Dalam cuaca Malaysia yang panas dan lembap, aktiviti seperti berlari, berkebun atau bekerja di luar boleh meningkatkan kehilangan peluh. Namun, bukan semua kekejangan selepas bersenam disebabkan kekurangan elektrolit. Seseorang yang jarang bersenam tetapi tiba-tiba melakukan aktiviti berat mungkin mengalami kekejangan kerana otot belum terbiasa dengan beban tersebut.
Peningkatan aktiviti secara beransur-ansur, latihan kekuatan, pemulihan yang mencukupi dan pengambilan cecair yang sesuai boleh membantu. Bagi aktiviti ketahanan yang panjang, penggantian elektrolit mungkin diperlukan. Namun, minum air secara berlebihan juga boleh menyebabkan hiponatremia, iaitu paras natrium darah yang terlalu rendah.
Adakah Bilik Sejuk Menyebabkan Kekejangan?
Ada individu mendapati kaki lebih mudah terasa tegang apabila tidur dalam bilik berhawa dingin atau terkena hembusan kipas. Mereka mungkin berasa lebih selesa selepas menggunakan selimut, mengurut atau menghangatkan kaki.
Suhu boleh mempengaruhi fungsi otot dan persepsi kesakitan, tetapi rasa kaku akibat kesejukan tidak semestinya kekejangan sebenar. Kajian fisiologi pada tahun 2025 menunjukkan bahawa suhu mempengaruhi beberapa aspek prestasi otot, namun tidak membuktikan bahawa penghawa dingin menyebabkan kekejangan malam.
Sensitiviti suhu yang luar biasa juga boleh memberi petunjuk tentang keadaan kesihatan lain. Hipotiroidisme dan anemia boleh menyebabkan seseorang kurang tahan sejuk, manakala hipertiroidisme boleh menyebabkan sensitiviti terhadap panas dan jantung berdebar. Wanita dalam perimenopaus pula mungkin mengalami perubahan toleransi suhu. Walau bagaimanapun, perubahan ini tidak semestinya menjadi punca kekejangan.
Mengapa Kajian Mendapati Magnesium Tidak Banyak Membantu?
Pada tahun 2020, ulasan sistematik Cochrane menghimpunkan 11 kajian rawak terkawal melibatkan 735 peserta untuk menilai keberkesanan magnesium terhadap kekejangan otot.
Bagi orang dewasa berusia yang mengalami kekejangan tanpa punca khusus, magnesium tambahan tidak menunjukkan manfaat pencegahan yang bermakna berbanding plasebo. Ini mencadangkan bahawa menambah magnesium kepada seseorang yang sudah mempunyai bekalan mencukupi tidak semestinya mengubah mekanisme kekejangan.
Namun, dapatan tersebut tidak bermaksud magnesium tidak penting. Individu yang benar-benar mengalami kekurangan magnesium akibat ubat tertentu, masalah penyerapan atau kehilangan mineral masih memerlukan pembetulan kekurangan itu.
Perbezaannya ialah antara membetulkan kekurangan nutrien dengan memberikan nutrien tambahan kepada seseorang yang belum tentu kekurangan.
Bagaimana dengan wanita hamil?
Kekejangan betis sering berlaku semasa trimester kedua dan ketiga kehamilan. Kajian magnesium menunjukkan hasil yang tidak konsisten, dengan sesetengah kajian melaporkan manfaat manakala kajian lain tidak menemukan perbezaan yang jelas.
WHO menyenaraikan magnesium, kalsium dan pendekatan bukan ubat sebagai pilihan yang boleh dipertimbangkan mengikut keadaan serta pilihan wanita. Pengambilan suplemen perlu mengambil kira pemakanan, vitamin pranatal dan keperluan individu.
Apa Lagi yang Boleh Membantu Mengurangkan Kekejangan?
Regangan sebelum tidur
Satu kajian rawak terkawal pada tahun 2012 melibatkan 80 orang dewasa berusia lebih 55 tahun mendapati program regangan betis dan otot belakang paha sebelum tidur selama enam minggu mengurangkan kekerapan serta keterukan kekejangan.
Regangan betis boleh dilakukan dengan berdiri menghadap dinding, meletakkan satu kaki ke belakang dan memastikan tumit menyentuh lantai sambil membengkokkan lutut hadapan secara perlahan. Bagi mereka yang mempunyai masalah keseimbangan, regangan dalam keadaan duduk mungkin lebih sesuai.
Jika kekejangan berlaku ketika tidur, luruskan kaki setakat yang selesa dan tarik hujung kaki perlahan-lahan ke arah tulang kering untuk meregangkan otot betis.
Stoking mampatan: kajian baharu 2026
Kajian rawak terkawal yang diterbitkan pada Februari 2026 di Finland melibatkan 121 orang dewasa berusia 50 hingga 85 tahun dengan kekejangan kaki berulang. Peserta dibahagikan kepada kumpulan stoking mampatan perubatan, magnesium dan plasebo.
Selepas lapan minggu, kumpulan stoking mampatan menunjukkan pengurangan kekerapan kekejangan yang lebih besar berbanding plasebo. Magnesium pula tidak menunjukkan perbezaan yang signifikan.
Walaupun mekanisme tepat manfaat stoking mampatan terhadap kekejangan belum diketahui, dapatan ini menunjukkan pendekatan fizikal mungkin mempunyai peranan. Namun, saiz dan tahap tekanan perlu sesuai, terutama bagi individu yang mempunyai masalah peredaran darah arteri.
Bagaimana dengan pakaian inframerah?
Pakaian berteknologi far-infrared (FIR), termasuk stoking dan seluar, dipasarkan untuk keselesaan otot serta peredaran darah. Kajian telah meneroka kesannya terhadap suhu kulit dan pemulihan otot, tetapi bukti bahawa fabrik FIR dapat mencegah kekejangan malam masih belum mencukupi.
Sesetengah produk menggabungkan teknologi FIR dengan mampatan. Oleh itu, manfaat mampatan tidak sepatutnya dianggap sebagai bukti keberkesanan teknologi inframerah itu sendiri.
Cukupkan Magnesium Melalui Makanan Dahulu
Magnesium boleh diperoleh daripada pelbagai makanan seperti kekacang, biji-bijian, sayuran hijau dan bijirin penuh. Bagi individu yang pengambilan makanannya kurang pelbagai, menambah sumber makanan ini mungkin lebih sesuai sebagai langkah awal berbanding terus membeli suplemen.
| Makanan | Hidangan | Anggaran magnesium |
|---|---|---|
| Biji labu | 28 g | 156 mg |
| Biji chia | 28 g | 111 mg |
| Badam | 28 g | 80 mg |
| Bayam dimasak | ½ cawan | 78 mg |
| Kacang hitam dimasak | ½ cawan | 60 mg |
| Pisang sederhana | 1 biji | 32 mg |
Jumlah ini merupakan anggaran dan boleh berubah mengikut jenis serta penyediaan makanan. Pemakanan yang pelbagai juga membantu membekalkan kalium, kalsium, protein dan nutrien lain yang diperlukan oleh otot.
Walau bagaimanapun, apabila seseorang benar-benar mengalami kekurangan magnesium akibat penyakit, gangguan penyerapan atau kehilangan mineral melalui ubat tertentu, makanan sahaja mungkin tidak mencukupi untuk membetulkan kekurangan itu dengan cepat.
Vitamin B, Kalium, Kalsium dan Vitamin D
Selain magnesium, beberapa nutrien lain turut menyokong fungsi saraf dan otot. Vitamin B tertentu terlibat dalam metabolisme tenaga serta kesihatan sistem saraf, tetapi bukti penggunaan vitamin B kompleks sebagai rawatan rutin kekejangan malam masih terhad.
Pengambilan vitamin B6 yang terlalu tinggi secara berpanjangan boleh menyebabkan neuropati. Oleh itu, individu yang menggunakan beberapa jenis suplemen perlu memeriksa jumlah keseluruhan vitamin B6 yang diambil.
Kalium dan kalsium juga penting untuk fungsi otot, tetapi kedua-duanya tidak perlu ditambah secara automatik apabila kekejangan berlaku. Kalium berlebihan khususnya boleh membahayakan individu yang mempunyai penyakit buah pinggang atau mengambil ubat tertentu. Vitamin D pula penting untuk kesihatan otot dan tulang, tetapi pengambilan tambahan tidak terbukti merawat semua jenis kekejangan malam.
Bagaimana Homeopati Melihat Kekejangan Otot?
Dalam homeopati, corak kekejangan seseorang diperhatikan secara individu. Ada yang mengalami kekejangan ketika mula tidur, menjelang pagi atau selepas aktiviti fizikal. Sifat kesakitan serta faktor yang memburukkan atau melegakan gejala turut diberi perhatian.
Contohnya, dalam materia medika klasik, Magnesia phosphorica mempunyai gambaran kekejangan dan kesakitan mencengkam yang bertambah teruk dengan kesejukan serta lega dengan kehangatan atau tekanan. Walaupun namanya mengandungi perkataan magnesium, remedi homeopati ini tidak sama dengan suplemen magnesium oral. Gambaran materia medika juga berbeza daripada bukti percubaan klinikal tentang keberkesanan remedi untuk kekejangan malam.
Dalam penilaian homeopati, pemerhatian terhadap corak gejala dihimpunkan bersama sejarah kesihatan, pemakanan, penggunaan ubat dan keadaan individu. Bagi saya, memahami gejala secara individu tidak bermaksud mengenepikan fisiologi, sebaliknya membantu meletakkan pemerhatian tersebut dalam konteks kesihatan seseorang secara keseluruhan.
Bila Kekejangan Memerlukan Pemeriksaan?
Kekejangan yang semakin kerap, berlarutan atau mengganggu tidur secara berterusan wajar dinilai. Begitu juga jika terdapat kelemahan, kebas atau rasa mencucuk yang tidak hilang. Sakit kaki yang berlaku ketika berjalan dan reda selepas berehat mungkin berkaitan dengan masalah bekalan darah.
Sakit dan bengkak pada sebelah kaki, terutama jika disertai kemerahan atau rasa panas, boleh menandakan deep vein thrombosis (DVT), iaitu pembekuan darah dalam vena dalam. Jangan mengurut kaki yang disyaki mengalami keadaan ini dan dapatkan pemeriksaan segera. Jika disertai sesak nafas atau sakit dada, hubungi talian kecemasan 999.
Kesimpulan: Jangan Terus Salahkan Magnesium
Magnesium memang penting untuk fungsi saraf, otot dan metabolisme tenaga. Namun, kekejangan boleh berkaitan dengan aktiviti saraf, beban otot, kehilangan elektrolit, penggunaan ubat atau keadaan kesihatan tertentu.
Kajian menunjukkan bahawa magnesium tambahan tidak semestinya mencegah kekejangan malam tanpa punca khusus. Sebaliknya, regangan, penjagaan otot dan pendekatan fizikal tertentu mungkin membantu sesetengah individu. Bagi mereka yang benar-benar mengalami kekurangan magnesium, pembetulan kekurangan tetap penting.
Jadi, apabila betis tiba-tiba kejang pada tengah malam, jangan terus membuat kesimpulan bahawa badan kekurangan magnesium. Perhatikan bila kekejangan berlaku, faktor yang mungkin mencetuskannya dan keadaan kesihatan keseluruhan. Matlamat kita bukan sekadar menghentikan kekejangan, tetapi memastikan otot terus berfungsi dengan baik supaya pergerakan dan tidur tidak terganggu.
Pilihan Produk di Nurbisa
Bagi pembaca yang memerlukan sokongan tambahan, terdapat beberapa pilihan produk yang mempunyai tujuan penggunaan berbeza.
NHF Magnesium Glycinate Amino Acid Chelate Plus membekalkan magnesium bisglisinat bersama L-theanine, vitamin D3 dan vitamin B6. Jika suplemen oral sesuai dengan keperluan individu, perhatikan kandungan magnesium elemental serta jumlah vitamin B6 daripada suplemen lain yang turut diambil.
Deep Ocean Magnesium Oil (Health Builders) merupakan larutan magnesium klorida daripada sumber Zechstein yang digunakan secara luaran untuk sapuan dan urutan mengikut arahan label. Produk luaran tidak sepatutnya dicampurkan ke dalam minuman melainkan dilabel khusus untuk kegunaan oral.
Magnesium Butter Nurbisa pula merupakan pilihan produk sapuan untuk rutin penjagaan kulit dan urutan lembut, tertakluk kepada arahan penggunaan formulasi akhir. Bukti bahawa magnesium sapuan boleh membetulkan kekurangan magnesium sistemik masih belum mencukupi.
Pemilihan produk perlu mengikut tujuan penggunaannya. Suplemen oral, produk sapuan dan penjagaan fizikal bukanlah pendekatan yang sama, dan tidak semua kekejangan memerlukan produk tambahan.
Rujukan
-
Garrison SR, et al. Magnesium for skeletal muscle cramps. Cochrane Database of Systematic Reviews. 2020;9. https://doi.org/10.1002/14651858.CD009402.pub3
-
National Institutes of Health, Office of Dietary Supplements. Magnesium: Fact Sheet for Health Professionals. https://ods.od.nih.gov/factsheets/Magnesium-HealthProfessional/
-
Allen RE, Kirby KA. Nocturnal leg cramps. American Family Physician. 2012;86(4):350–355. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/22963024/
-
National Health Service. Leg cramps. https://www.nhs.uk/conditions/leg-cramps/
-
Ministry of Health Malaysia. Clinical Practice Guidelines: Management of Dyslipidaemia. Sixth Edition. 2023.
-
Hallegraeff JM, et al. Stretching before sleep reduces the frequency and severity of nocturnal leg cramps in older adults: a randomised trial. Journal of Physiotherapy. 2012;58(1):17–22. https://doi.org/10.1016/S1836-9553(12)70068-1
-
Kuusipalo A, et al. Secondary prevention of leg cramps using compression stockings or magnesium supplements: a three-arm randomized clinical trial. Trials. 2026;27:216. https://doi.org/10.1186/s13063-025-09370-z
-
Miller KC, et al. An evidence-based review of the pathophysiology, treatment, and prevention of exercise-associated muscle cramps. Journal of Athletic Training. 2022;57(1):5–15. https://doi.org/10.4085/1062-6050-0696.20
-
Papachatzis N, et al. Temperature affects the torque–velocity relationship of the ankle plantar flexor muscles. Scientific Reports. 2025;15:25963. https://doi.org/10.1038/s41598-025-09729-x
-
Gröber U, et al. Myth or Reality—Transdermal Magnesium? Nutrients. 2017;9(8):813. https://doi.org/10.3390/nu9080813
-
World Health Organization. WHO Recommendations on Antenatal Care for a Positive Pregnancy Experience. 2016.
-
Boericke W. Pocket Manual of Homoeopathic Materia Medica. Magnesia phosphorica.
-
National Health Service. Deep vein thrombosis (DVT).