Kulit Selepas 40: Adakah Kita Benar-Benar Perlukan Lebih Banyak Produk Penjagaan Kulit?

Kulit Selepas 40: Adakah Kita Benar-Benar Perlukan Lebih Banyak Produk Penjagaan Kulit?

Masuk usia 40-an, ramai wanita mula menyedari bahawa kulit mereka tidak lagi โ€œberkelakuanโ€ seperti dahulu. Produk yang sudah bertahun-tahun digunakan tanpa masalah tiba-tiba terasa pedih. Selepas mencuci muka, kulit terasa tegang. Ada masa kulit menjadi sangat kering atau mudah mengelupas, tetapi pada masa yang sama jerawat masih boleh muncul. Solekan pula mungkin tidak lagi kelihatan sama seperti ketika usia 20-an atau 30-an.

Apabila perubahan ini berlaku, reaksi kita selalunya mudah: mungkin penjagaan kulit yang digunakan sekarang sudah tidak mencukupi. Maka mulalah kita mencari serum baharu, asid pengelupasan, retinol, vitamin C atau apa sahaja bahan yang sedang popular. Satu produk ditambah kepada satu lagi sehingga akhirnya rutin penjagaan kulit menjadi semakin panjang.

Tetapi apabila kulit mula berubah dalam usia 40-an, terutama ketika menghampiri perimenopaus dan menopaus, mungkin soalan pertama yang patut kita tanya bukan, โ€œApa lagi yang perlu saya tambah?โ€ Sebaliknya, kita patut bertanya, โ€œApa sebenarnya yang sedang berlaku pada kulit saya?โ€

Kulit kita memang berubah apabila usia bertambah

Kulit ialah organ hidup dan bukannya sekadar lapisan yang membalut tubuh. Bahagian paling luar kulit, khususnya stratum corneum, mempunyai fungsi penting sebagai penghalang antara tubuh kita dengan persekitaran. Ia membantu mengurangkan kehilangan air daripada kulit dan pada masa yang sama melindungi kulit daripada bahan luar yang boleh menyebabkan kerengsaan. Fungsi inilah yang sering disebut sebagai lapisan pelindung kulit (skin barrier).

Lapisan pelindung kulit yang baik membantu mengekalkan keseimbangan air dan lipid pada permukaan kulit. Apabila fungsi ini terganggu, kulit boleh menjadi lebih kering, kasar, tegang, mudah pedih atau lebih sensitif terhadap bahan yang sebelum ini tidak menimbulkan masalah.

Proses penuaan sendiri membawa perubahan kepada struktur dan fungsi kulit. Kajian menunjukkan bahawa apabila usia meningkat, perubahan boleh berlaku pada ketebalan kulit, kandungan air, lipid, kolagen, keanjalan serta keupayaan kulit untuk pulih selepas mengalami gangguan. [1,2] Sebab itulah rutin yang sesuai ketika berusia 25 tahun tidak semestinya memberikan pengalaman yang sama apabila kita berusia 45 tahun.

Bagi wanita, ada satu lagi perubahan besar yang boleh berlaku pada tempoh yang sama, iaitu perubahan hormon.

Perimenopaus bukan hanya tentang haid dan rasa panas

Apabila bercakap tentang perimenopaus dan menopaus, kita biasanya memikirkan perubahan haid, rasa panas secara tiba-tiba, gangguan tidur atau perubahan emosi. Namun kulit juga merupakan organ yang dipengaruhi oleh hormon.

Estrogen mempunyai reseptor pada pelbagai struktur kulit dan terlibat dalam proses yang mempengaruhi kolagen, keanjalan, kelembapan dan penghasilan minyak kulit. Apabila paras estrogen berubah dan akhirnya menurun sekitar menopaus, perubahan turut boleh berlaku pada kulit. Penyelidikan mengenai kulit selepas menopaus menunjukkan perubahan pada kolagen, ketebalan kulit, keanjalan dan kelembapan, manakala kulit yang semakin kering merupakan antara masalah yang kerap dilaporkan. [2โ€“4]

Satu ulasan yang diterbitkan pada tahun 2025 turut membincangkan bagaimana perubahan berkaitan menopaus melibatkan bukan sahaja kolagen dan keanjalan, tetapi juga bahan yang membantu kulit memegang air, penghasilan sebum serta komponen lipid pada epidermis seperti seramida. [4]

Namun, ini tidak bermaksud setiap masalah kulit yang muncul selepas usia 40 tahun mesti disebabkan oleh hormon. Pendedahan kepada cahaya matahari selama bertahun-tahun, genetik, persekitaran, merokok, penyakit kulit, ubat-ubatan, pemakanan dan rutin penjagaan kulit turut memainkan peranan. Perimenopaus pula bukan keadaan apabila estrogen tiba-tiba berubah daripada tinggi kepada rendah dalam satu malam. Hormon boleh turun naik selama beberapa tahun dan pengalaman setiap wanita tidak sama.

Sebab itu ada wanita yang mendapati kulit mereka semakin kering, ada yang menjadi lebih sensitif, ada yang masih mempunyai kulit berminyak dan berjerawat, dan ada juga yang mengalami beberapa keadaan ini serentak.

Bila kulit berubah, kita cenderung menambah lebih banyak bahan aktif

Apabila nampak pigmentasi, kita mencari bahan untuk mencerahkan. Apabila muncul garis halus, kita mencari retinoid. Apabila kulit kelihatan kusam, kita menambah vitamin C. Apabila tekstur kulit terasa kasar, kita mula menggunakan bahan pengelupasan.

Tidak ada masalah dengan bahan-bahan ini semata-mata. Sebahagiannya mempunyai bukti yang baik dan memang mempunyai tempat dalam penjagaan kulit. Persoalannya ialah sama ada kita benar-benar memerlukan semuanya pada masa yang sama.

Satu rutin penjagaan kulit boleh akhirnya mengandungi pencuci muka, penyegar berasid, vitamin C, bahan pengelupasan, retinoid dan beberapa serum lain. Dalam masa yang sama, kulit mula terasa pedih apabila produk disapu, tegang selepas dicuci, kering di sekitar hidung dan mulut, mudah merah atau mengelupas. Kadang-kadang produk yang sudah lama digunakan tanpa masalah juga tiba-tiba terasa terlalu kuat.

Apabila keadaan ini berlaku, menambah satu lagi bahan aktif mungkin bukan jawapannya. Ada masanya kita perlu kembali melihat perkara yang jauh lebih asas, termasuk bagaimana kita membersihkan kulit.

Kulit bersih tidak semestinya perlu terasa kesat

Tujuan pencuci ialah membuang kotoran, minyak berlebihan, peluh, pelindung matahari, solekan dan bahan lain daripada permukaan kulit. Kebanyakan pencuci menggunakan bahan yang dikenali sebagai surfaktan untuk membantu minyak dan kotoran bercampur dengan air supaya dapat dibilas.

Namun tidak semua sistem pencucian berinteraksi dengan kulit dengan cara yang sama. Sesetengah surfaktan boleh berinteraksi dengan protein dan lipid pada stratum corneum. Jika proses pembersihan terlalu kuat, kulit boleh kehilangan sebahagian komponen yang diperlukan untuk mengekalkan fungsi pelindungnya. Kesannya boleh muncul sebagai rasa tegang selepas mencuci, kekeringan dan kerengsaan. [5,6]

Sebab itulah rasa muka sangat kesat selepas mencuci tidak semestinya bermaksud kulit sudah menjadi โ€œlebih bersihโ€. Kadang-kadang kita sebenarnya telah membuang lebih banyak minyak dan lipid daripada yang diperlukan.

Penyelidikan mengenai penjagaan kulit pada usia lebih lanjut turut menunjukkan kepentingan pencucian yang tidak terlalu mengganggu kulit serta penggunaan pelembap untuk membantu mengurangkan kekeringan dan mengekalkan fungsi lapisan pelindung kulit. [7,8]

Namun saya juga tidak bersetuju dengan pendekatan yang terlalu mudah seperti mengatakan semua sabun tidak baik, semua bahan semula jadi semestinya lembut atau pencuci dengan pH tertentu pasti lebih baik. Formulasi sesuatu pencuci jauh lebih kompleks daripada satu bahan atau satu nombor pada label. Jenis dan kepekatan surfaktan, gabungan bahan dalam formulasi, kekerapan mencuci, tempoh bahan berada pada kulit dan keadaan kulit seseorang semuanya boleh mempengaruhi tindak balas kulit.

Malah penyelidikan mengenai teknologi pencucian lembut yang diterbitkan pada tahun 2026 masih memberi perhatian kepada persoalan asas yang sama: bagaimana hendak membersihkan kulit dengan berkesan sambil mengurangkan gangguan terhadap lipid dan protein yang penting kepada fungsi lapisan pelindung kulit. [9]

Menariknya, perbualan tentang kulit matang juga sedang berubah

Baru-baru ini saya membaca senarai pilihan Allure Best of Beauty 2026 khusus untuk kulit matang. Sudah tentu senarai pilihan produk oleh sebuah majalah kecantikan bukanlah bukti klinikal, dan saya tidak akan menggunakannya sebagai bukti bahawa sesuatu produk berkesan.

Namun ia menarik jika dilihat sebagai gambaran tentang perkara yang sedang diberi perhatian dalam penjagaan kulit matang pada masa ini.

Bahan seperti vitamin C dan peptida masih mendapat tempat. Produk yang menyasarkan garis halus, pigmentasi dan tanda penuaan juga masih banyak. Tetapi bersama-sama dengannya terdapat perhatian terhadap kelembapan kulit, kekeringan, sensitiviti, perlindungan daripada cahaya matahari dan pencucian yang lebih lembut. Antara produk yang dipilih untuk kulit matang ialah pencuci jenis susu yang ditekankan kerana membersihkan tanpa meninggalkan kulit terlalu kering. [10]

Dalam kategori penjagaan kulit mereka secara keseluruhan pula, kita dapat melihat pelbagai pencuci berbentuk minyak, krim dan balm serta produk yang ditujukan kepada kulit sensitif atau kulit yang lapisan pelindungnya sedang terganggu. [11]

Bagi saya, bahagian yang menarik bukan jenama mana yang menang anugerah. Yang lebih menarik ialah perubahan perbualan. Penjagaan kulit matang tidak lagi semata-mata tentang bagaimana hendak โ€œmelawanโ€ setiap tanda penuaan dengan bahan yang lebih kuat. Keselesaan kulit, kelembapan dan penjagaan fungsi asas kulit turut mendapat perhatian.

Jadi, wanita 40-an perlu buang semua serum?

Tidaklah sampai begitu. ๐Ÿ˜†

Kalau kulit berada dalam keadaan baik, tidak pedih, tidak terlalu kering dan rutin yang digunakan sesuai, tidak ada sebab untuk mengubah semuanya semata-mata kerana sudah masuk usia 40 tahun. Tetapi jika kulit mula berubah, jangan terus membuat kesimpulan bahawa produk yang digunakan sekarang โ€œtidak cukup kuatโ€.

Mungkin lebih berguna untuk melihat semula keseluruhan rutin. Berapa kali sehari kita mencuci muka? Selepas mencuci, kulit terasa selesa atau terasa seperti ditarik? Berapa banyak bahan aktif digunakan dalam satu masa? Adakah pengelupasan dilakukan terlalu kerap? Adakah beberapa produk baharu diperkenalkan serentak sehingga kita sendiri tidak tahu produk mana yang menyebabkan kerengsaan? Adakah pelembap yang digunakan masih sesuai dengan keadaan kulit sekarang?

Dan ada satu lagi perkara yang kadang-kadang sangat mudah dilupakan apabila kita sibuk membeli serum yang mahal: perlindungan daripada cahaya matahari. Pendedahan ultraviolet merupakan salah satu faktor luaran utama yang menyumbang kepada penuaan kulit. Rutin yang panjang tidak akan menggantikan kepentingan perlindungan daripada matahari.

Jangan pula โ€œskin barrierโ€ menjadi satu lagi istilah pemasaran

Sekarang istilah skin barrier semakin popular. Pada satu sudut, ini perkembangan yang baik kerana pengguna mula memahami bahawa kulit bukan sekadar sesuatu yang perlu diputihkan, diketatkan atau dikupas lapisan luarnya berulang kali.

Tetapi apabila sesuatu istilah menjadi popular, pemasaran akan mengikutinya. Hampir semua produk mula bercakap tentang membaiki lapisan pelindung kulit. Kemudian muncul pula istilah seperti skin longevity, penjagaan mikrobiom kulit, eksosom, PDRN, faktor pertumbuhan dan pelbagai teknologi baharu.

Ada antaranya mempunyai asas biologi yang menarik. Ada yang sudah mempunyai kajian pada manusia. Ada yang bukti penyelidikannya masih kecil atau terlalu awal untuk membuat kesimpulan besar. Tahap bukti bagi setiap bahan dan intervensi tidak sama.

Kita tidak perlu memilih antara menolak semua perkembangan baharu atau membeli setiap bahan yang sedang tular. Lebih berguna jika kita bertanya apakah masalah kulit yang sebenarnya hendak diselesaikan, apakah bukti yang ada untuk bahan tersebut, adakah kulit kita benar-benar memerlukannya dan, yang paling penting, adakah kulit kita boleh menerimanya dengan baik.

Kerana apabila masuk usia 40-an, penjagaan kulit mungkin bukan lagi tentang berapa banyak botol yang boleh kita susun di atas meja solek.

Kadang-kadang kulit kita tidak meminta lebih banyak produk. Ia cuma meminta kita berhenti mengganggunya terlalu banyak.

Nota

Artikel ini bertujuan untuk pendidikan kesihatan dan penjagaan kulit secara umum. Kulit yang berterusan merah, gatal, sakit, pecah, mengalami ruam atau menunjukkan perubahan luar biasa mungkin melibatkan keadaan dermatologi dan bukan semata-mata gangguan lapisan pelindung kulit. Pemeriksaan profesional diperlukan sekiranya gejala berterusan atau membimbangkan.

Rujukan

  1. Ramos-e-Silva M, Boza JC, Cestari TF. Effects of age (neonates and elderly) on skin barrier function. Clinical Dermatology. 2012;30(3):274โ€“276.
  2. Thornton MJ. Estrogens and aging skin. Dermato-Endocrinology. 2013;5(2):264โ€“270.
  3. Calleja-Agius J, Brincat M. The effect of menopause on the skin and other connective tissues. Gynecological Endocrinology. 2012;28(4):273โ€“277.
  4. Guimarรฃes COZ, et al. Managing Menopausal Skin Changes: A Narrative Review of Skin Quality Changes, Their Aesthetic Impact, and the Actual Role of Hormone Replacement Therapy in Improvement. Journal of Cosmetic Dermatology. 2025.
  5. Ananthapadmanabhan KP, Moore DJ, Subramanyan K, Misra M, Meyer F. Cleansing without compromise: the impact of cleansers on the skin barrier and the technology of mild cleansing. Dermatologic Therapy. 2004;17(Suppl 1):16โ€“25.
  6. Walters RM, Mao G, Gunn ET, Hornby S. Cleansing formulations that respect skin barrier integrity. Dermatology Research and Practice. 2012;2012:495917.
  7. Kottner J, et al. Maintaining skin integrity in the aged: a systematic review. British Journal of Dermatology.2013;169(3):528โ€“542.
  8. Kottner J, et al. Maintaining skin integrity in the aged: A systematic review. International Journal of Nursing Studies. 2020;103:103509.
  9. Draelos Z, Zeichner J, Miller D, et al. Advances in Gentle Polymeric Cleansing Technologies. Journal of Drugs in Dermatology. 2026;25(5):465โ€“470.
  10. Allure. The 9 Best of Beauty Award Winners Dermatologists Love Most for Mature Skin. September 2026.
  11. Allure. Best of Beauty 2026: Skin-Care Winners. September 2026.
Back to blog

Leave a comment