Air banjir mungkin surut dalam beberapa jam atau hari, tetapi kesannya terhadap kesihatan boleh berlanjutan jauh lebih lama.
Maryam KJ
RHom (Mal), MSc (Medical Sciences)
Homeopathy Integrasi | Nurbisa
Bila masuk musim tengkujuh, selalunya saya mula risau. Takut air naik lagi di kawasan kedai kami. Mana tidaknya, sejak awal bangunan ini diduduki, sudah tidak terkira berapa kali kami berhadapan dengan banjir. Setiap kali banjir berlaku, ada sahaja kerosakan dan kerugian yang perlu ditanggung selepas air surut.
Bangunan ini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya sejak zaman persekolahan lagi. Di sinilah juga tempat saya melepak selepas balik sekolah. Ketika saya masih menuntut di universiti, ibu saya pernah hampir dihanyutkan arus ketika cuba mengalihkan kereta ke kawasan yang lebih tinggi. Kereta yang dipandunya sudah mula dibawa arus. Alhamdulillah, orang ramai datang membantu menolak kereta tersebut ke tempat yang selamat.
Sewaktu awal membangunkan perniagaan, kami sekeluarga tinggal di situ. Ketika itu, anak-anak masih kecil. Pernah suatu ketika, air mula naik sekitar waktu Maghrib sehingga bangunan kami seolah-olah menjadi sebuah pulau, dikelilingi air. Bekalan elektrik terputus dan kami mengharungi malam dalam keadaan gelap dan panas. Alhamdulillah, menjelang keesokan harinya, air mula surut.
Kejadian banjir terakhir yang kami alami adalah pada tahun 2024. Ketika itu, hujan turun selama beberapa hari, ditambah kemungkinan gangguan aliran air akibat kerja pembetulan sistem pembentungan. Ketika saya tiba, premis sudah ditutup dan air di kawasan sekitar bangunan sudah naik sehingga separas pinggang. Mesin ultrasound dan beberapa peralatan klinik rosak, menyebabkan operasi klinik turut terganggu sementara menunggu penggantian peralatan.
Sepanjang puluhan tahun menduduki bangunan ini, pelbagai pengubahsuaian telah dilakukan. Lantai ditinggikan, susun atur peralatan diubah dan ubat-ubatan tidak lagi disimpan di aras lantai. Semua ini dilakukan bagi mengurangkan risiko kerosakan dan kos yang perlu ditanggung sekiranya banjir berulang.
Namun, air masih boleh masuk apabila beberapa faktor berlaku serentak, seperti fenomena air pasang besar, saliran tersumbat atau hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari.
Sebenarnya, banyak juga usaha penambahbaikan telah dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sepanjang tempoh tersebut, termasuk pembinaan kolam tadahan dan penambahbaikan sistem saliran. Jika dibandingkan dengan keadaan dahulu, kekerapan kejadian banjir yang teruk di kawasan kami sudah banyak berkurangan. Perubahan ini memang ketara dan usaha tersebut wajar dihargai, walaupun risiko banjir masih belum dapat dihapuskan sepenuhnya.
Banjir bukan semestinya kerana hujan terlalu lebat
Penerbitan Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM) membincangkan bagaimana pembangunan pesat, perubahan guna tanah dan kelemahan sistem saliran boleh meningkatkan risiko banjir kilat. Pertambahan kawasan berturap mengurangkan penyerapan air ke dalam tanah, manakala sistem saliran yang tidak mampu menampung jumlah air atau tersumbat boleh menyebabkan banjir walaupun sesuatu kawasan itu tidak berhampiran sungai.
Fenomena kepala air pula, seperti tragedi di Sungai Pertak pada November 2026, menunjukkan bahawa hujan lebat di kawasan hulu boleh mendatangkan bahaya kepada mereka yang berada di hilir walaupun keadaan cuaca di lokasi mereka kelihatan baik.
Bagi mereka yang tinggal atau menjalankan perniagaan di kawasan yang pernah dilanda banjir, kerisauan sebenarnya bermula jauh sebelum air naik. Apabila hujan turun berterusan, kita mula memikirkan barang yang perlu dialihkan, peralatan yang perlu diselamatkan dan kemungkinan kerugian yang bakal ditanggung.
Apabila air surut pula, bermulalah kerja membersihkan premis, menguruskan kerosakan dan mengembalikan kehidupan kepada rutin biasa.
Dalam kesibukan membuat persediaan menghadapi banjir, kita banyak memikirkan cara untuk melindungi rumah, premis perniagaan dan harta benda. Tetapi sejauh manakah kita membuat persediaan untuk melindungi kesihatan diri dan keluarga?
Apabila bercakap tentang kesihatan mangsa banjir, kita sering memberikan perhatian kepada risiko jangkitan seperti leptospirosis, cirit-birit dan penyakit kulit. Namun, ada banyak lagi aspek kesihatan yang perlu diberikan perhatian, termasuk perubahan fisiologi akibat stres, gangguan tidur, kawalan penyakit kronik, kecukupan nutrisi, keletihan fizikal dan kesihatan emosi.
1. Apabila tubuh berada dalam mod bertahan
Beberapa malam tidak cukup tidur, memantau paras air, memindahkan barang dan memikirkan keselamatan keluarga boleh mengaktifkan sistem tindak balas stres tubuh. Sistem saraf simpatetik serta hormon seperti adrenalin dan kortisol membantu tubuh menghadapi ancaman dengan meningkatkan tahap kewaspadaan.
Tindak balas ini penting ketika kecemasan, tetapi apabila tekanan berpanjangan, tidur, selera makan, tumpuan, pencernaan dan kawalan glukosa boleh terjejas.
Apabila keadaan kembali selamat, usahakan untuk mengembalikan rutin tidur dan waktu makan. Pendedahan kepada cahaya semula jadi pada waktu pagi membantu mengatur semula ritma sirkadian (circadian rhythm), manakala pengurangan pengambilan kafein pada sebelah petang dan latihan pernafasan perlahan boleh membantu seseorang berehat.
Berikan peluang kepada tubuh untuk pulih dan jangan memaksa diri menyelesaikan semua urusan dalam satu atau dua hari.
2. Ubat cukup, tetapi penyakit belum tentu terkawal
Persediaan pesakit kronik bukan sekadar memastikan bekalan ubat mencukupi. Bagi pesakit diabetes, perubahan waktu makan, aktiviti fizikal, stres, jangkitan dan dehidrasi boleh mempengaruhi paras glukosa. Risiko hipoglisemia juga perlu diberi perhatian, khususnya bagi pengguna insulin dan ubat diabetes tertentu.
Begitu juga dengan pesakit hipertensi apabila kurang tidur, kesakitan dan tekanan emosi boleh mempengaruhi bacaan tekanan darah.
Selain menyimpan ubat dan rekod rawatan dalam bekas kalis air, sediakan alat pengukur glukosa atau tekanan darah mengikut keperluan masing-masing. Cuba kekalkan waktu makan dan pengambilan ubat, serta pantau bacaan dengan lebih kerap apabila rutin harian terganggu. Jika bacaan berubah dengan ketara atau timbul gejala baharu, dapatkan nasihat profesional kesihatan.
Pesakit dialisis dan mereka yang memerlukan rawatan berkala pula perlu merancang kesinambungan rawatan sebelum laluan ke pusat rawatan terputus. Simpan nombor telefon pusat rawatan dan kenal pasti pilihan alternatif sekiranya perjalanan ke pusat rawatan biasa terganggu.
3. Kenyang belum tentu cukup nutrisi
Ketika banjir, kita makan apa sahaja yang mudah diperoleh dan disediakan. Mi segera, biskut dan roti merupakan makanan kecemasan yang praktikal. Namun, jika terlalu lama bergantung pada pilihan makanan yang terhad, pengambilan protein, serat dan mikronutrien mungkin tidak mencukupi.
Bagi warga emas, kekurangan protein yang disertai kurang pergerakan boleh menyumbang kepada kemerosotan kekuatan otot. Kanak-kanak, ibu hamil dan pesakit kronik juga mempunyai keperluan nutrisi tersendiri yang perlu diberi perhatian.
Ketika menyediakan stok makanan musim tengkujuh, jangan hanya membeli makanan berasaskan karbohidrat. Sediakan juga ikan dalam tin, susu UHT, susu tepung, kekacang dan sumber protein lain yang mudah disimpan.
Minuman protein boleh dipertimbangkan bagi individu yang sukar memenuhi keperluan protein melalui makanan biasa, mengikut keadaan kesihatan masing-masing. Apabila bekalan mengizinkan, tambahkan buah-buahan dan sayur-sayuran yang selamat dimakan.
Bekalan air bersih juga perlu mencukupi. Garam rehidrasi oral (oral rehydration salts, ORS) wajar disediakan untuk menggantikan kehilangan air dan elektrolit akibat cirit-birit atau muntah. Pesakit jantung dan buah pinggang yang mempunyai had pengambilan cecair perlu mematuhi panduan rawatan masing-masing.
4. Tidak semua ruam selepas banjir ialah jangkitan
Apabila air surut, bermulalah kerja pembersihan. Kita mungkin terpaksa berada dalam keadaan basah untuk tempoh yang lama, terdedah kepada lumpur, air tercemar dan pelbagai jenis bahan pencuci.
Kulit yang terlalu lama terendam boleh mengalami maceration, iaitu keadaan apabila lapisan kulit menjadi terlalu lembap, lembut dan mudah rosak. Geseran pakaian basah serta penggunaan bahan pencuci yang kuat pula boleh menyebabkan iritasi dan dermatitis kontak, terutama bagi penghidap ekzema.
Apabila lapisan perlindungan kulit (skin barrier) terjejas, kulit menjadi lebih mudah mengalami keradangan dan jangkitan.
Selain menyediakan sarung tangan dan kasut perlindungan, sediakan pencuci kulit yang lembut, pelembap tanpa pewangi serta krim pelindung kulit (barrier cream) untuk digunakan pada kulit yang utuh.
Tukar pakaian dan stoking basah dengan segera, bersihkan kulit menggunakan air bersih dan keringkan dengan baik sebelum menyapu pelembap. Elakkan penggunaan bahan pencuci rumah atau disinfektan yang kuat secara langsung pada kulit.
Luka yang semakin merah, panas, bengkak atau bernanah memerlukan pemeriksaan segera, khususnya bagi pesakit diabetes. Demam dan sakit otot selepas terdedah kepada air banjir juga perlu diperiksa kerana kemungkinan jangkitan seperti leptospirosis.
5. Rumah dah kering, kenapa masih batuk?
Walaupun permukaan rumah kelihatan kering, kelembapan boleh kekal di dalam dinding, bawah karpet dan belakang perabot, lalu menggalakkan pertumbuhan kulat (mold). Keadaan ini boleh menjejaskan kualiti udara di dalam bangunan walaupun kerja pembersihan sudah selesai.
Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), bahan basah sebaiknya dikeringkan dalam tempoh 24β48 jam bagi mengurangkan risiko pertumbuhan kulat. Pendedahan kepada kulat boleh menyebabkan batuk, bersin, iritasi mata dan tekak serta memburukkan gejala asma dan alahan.
Pastikan pengudaraan rumah baik dan gunakan alat penyahlembap (dehumidifier) jika ada, setelah sistem elektrik disahkan selamat. Tilam, karpet dan perabot berliang yang tercemar serta tidak dapat dibersihkan atau dikeringkan dengan sempurna mungkin perlu dibuang.
Gunakan pelitup N95, sarung tangan dan pelindung mata ketika membersihkan kawasan berkulat.
Penghidap asma, penyakit paru-paru kronik dan individu yang mempunyai sistem imun lemah sebaiknya tidak terlibat dalam kerja tersebut. Jika batuk berpanjangan, dapatkan pemeriksaan. Kesukaran bernafas memerlukan perhatian perubatan segera.
6. Rumah bersih, badan pula sakit
Daripada pengalaman menghadapi banjir, kerja selepas air surut juga bukan mudah. Barang perlu dialihkan, lumpur perlu dibersihkan dan peralatan yang rosak perlu diuruskan.
Dalam keadaan badan yang sudah penat akibat kurang tidur, kita masih perlu mengangkat barang, membongkok, mencangkung dan bekerja selama berjam-jam. Kadangkala terlalu sibuk sehingga terlupa makan, minum dan berehat.
Keadaan ini boleh menyebabkan keletihan, sakit otot, kecederaan dan memburukkan masalah sendi yang sedia ada. Warga emas dan pesakit jantung khususnya perlu berhati-hati ketika melakukan kerja fizikal berat secara mendadak.
Bahagikan kerja mengikut kemampuan, gunakan peralatan yang mengurangkan keperluan membongkok dan elakkan mengangkat barang berat seorang diri. Tuam sejuk boleh digunakan bagi kecederaan ringan yang baru berlaku, manakala tuam suam dan regangan lembut boleh membantu memberikan keselesaan kepada otot yang tegang tanpa kecederaan akut.
Pengambilan protein, air dan makanan yang mencukupi serta tidur yang baik turut penting dalam proses pemulihan fizikal. Kesakitan yang teruk, bengkak atau kesukaran bergerak memerlukan pemeriksaan lanjut.
7. Hujan turun, jantung mula berdebar
Saya sendiri memahami perasaan risau apabila hujan turun berterusan. Walaupun kejadian banjir di kawasan kami sudah jauh berkurangan, pengalaman selama bertahun-tahun menyebabkan saya masih peka terhadap perubahan cuaca setiap kali musim tengkujuh tiba.
Bagi mereka yang pernah mengalami banjir yang lebih teruk, bunyi hujan lebat boleh mengingatkan kembali pengalaman terdahulu dan mencetuskan kebimbangan. Ada yang sukar tidur, kerap memeriksa paras air dan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga.
Kesan emosi ini bukan sahaja berkaitan dengan keselamatan diri dan keluarga, tetapi juga kehilangan harta benda, gangguan pekerjaan dan tekanan kewangan.
Reaksi ini tidak semestinya bermakna seseorang mengalami gangguan tekanan pascatrauma (post-traumatic stress disorder, PTSD). Namun, kesannya terhadap kehidupan harian tidak seharusnya diabaikan.
Mempunyai pelan tindakan keluarga yang jelas, mengetahui laluan pemindahan dan menyediakan keperluan lebih awal boleh membantu mengurangkan ketidakpastian. Sokongan daripada ahli keluarga, perkongsian pengalaman dan pemulihan rutin harian juga penting.
Namun, jika ketakutan, mimpi buruk, gangguan tidur dan kebimbangan berpanjangan sehingga mengganggu kehidupan harian, dapatkan bantuan profesional.
Ada keluarga yang rumahnya sudah kembali bersih, tetapi masih belum berasa selamat setiap kali hujan turun.
Apa yang perlu kita sediakan sekarang?
Bagi keluarga yang tinggal di kawasan berisiko banjir, sekaranglah masanya untuk menyemak semula bekalan ubat, makanan dan keperluan penjagaan kesihatan. Jangan tunggu sehingga air mula naik atau laluan keluar sudah terputus.
Selain beg kecemasan yang mengandungi pakaian, dokumen penting dan lampu suluh, saya mencadangkan supaya setiap keluarga menyediakan kit penjagaan kesihatan mengikut keperluan ahli keluarga masing-masing.
Kit Penjagaan Kesihatan Musim Tengkujuh
- Bekalan ubat harian dan salinan rekod rawatan.
- Termometer, alat pengukur tekanan darah dan glukosa jika diperlukan.
- ORS dan bekalan air minuman bersih.
- Makanan berprotein yang tahan lama.
- Pencuci kulit lembut, pelembap dan krim pelindung kulit.
- Antiseptik, kain kasa steril dan pembalut luka.
- Pelitup N95, sarung tangan, kasut perlindungan dan pelindung mata.
- Pek tuam panas dan sejuk.
Bagaimana dengan Homeokit?
Bagi keluarga yang biasa menggunakan homeopati, Homeokit Nurbisa juga boleh dimasukkan dalam senarai persediaan peribadi. Semak kit yang sedia ada dan rancang keperluan lebih awal, supaya tidak kelam-kabut apabila perlu berpindah.
Kenali Homeokit Nurbisa di sini.
Teruskan ubat harian seperti diarahkan dan dapatkan rawatan segera bagi gejala serius.
Semakan ringkas sebelum beg ditutup
Semak tarikh luput bekalan dan pastikan senarai ubat, alahan serta nombor telefon pusat rawatan mudah dicapai. Labelkan keperluan setiap ahli keluarga dan simpan dokumen serta bekalan yang sesuai dalam bekas kalis air. Bagi ubat yang memerlukan suhu simpanan tertentu, dapatkan panduan ahli farmasi untuk pelan penyimpanan semasa pemindahan.
Dalam keadaan cuaca sekarang, biasakan diri menyemak amaran cuaca METMalaysia dan paras air melalui Public InfoBanjir JPS. Sekiranya arahan pemindahan dikeluarkan, utamakan keselamatan diri dan keluarga.
Rumah sudah pulih. Bagaimana dengan penghuninya?
Pada pandangan saya, pemulihan selepas banjir perlu dilihat secara lebih menyeluruh. Selain keadaan rumah dan harta benda, kita juga perlu menilai sama ada penghuni sudah kembali kepada rutin kehidupan biasa.
Adakah pesakit kronik kembali kepada jadual rawatan mereka? Adakah warga emas kembali makan dan bergerak seperti sebelumnya? Bagaimana pula dengan mereka yang masih mengalami gangguan tidur, batuk, masalah kulit, sakit sendi atau kebimbangan?
Pengalaman kami sendiri menunjukkan bahawa usaha mitigasi banjir yang dilakukan secara berterusan, sama ada oleh pemilik premis mahupun pihak berkuasa tempatan, boleh membawa perubahan yang besar. Walaupun tidak dapat menghapuskan risiko sepenuhnya, kesan dan kekerapan kejadian banjir yang teruk dapat dikurangkan.
Begitu juga dengan penjagaan kesihatan. Kita mungkin tidak dapat mengelakkan semua masalah kesihatan yang timbul akibat banjir, tetapi dengan persediaan yang lebih menyeluruh, kita boleh mengurangkan risiko dan membantu proses pemulihan.
Sebagaimana kita membuat persediaan untuk melindungi bangunan, peralatan dan harta benda, kita juga perlu membuat persediaan untuk melindungi kesihatan diri dan keluarga.
Air mungkin sudah surut, lumpur sudah dibersihkan dan perabot sudah diganti. Namun, kesihatan fizikal dan emosi penghuni juga perlu diberikan masa dan perhatian untuk kembali pulih.
Semoga Allah SWT melindungi dan mempermudahkan segala urusan mereka yang sedang menghadapi banjir, serta mereka yang setiap kali musim tengkujuh tiba terpaksa berhadapan dengan kerisauan yang sama.
Rujukan dan maklumat lanjut
- Haliza Abdul Rahman. Banjir: Kenali Punca, Rancang Mitigasi. Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia, 2025.
Baca artikel UPM - Bernama. Tragedi Kepala Air Sungai Pertak. 10 November 2026.
Baca laporan Bernama - Kementerian Kesihatan Malaysia. Banjir: Persediaan Sebelum Banjir bagi Pesakit Kronik.
Lihat panduan KKM - Mohd Shahiri Abd Ghapar. Pengurusan Ubat Ketika Banjir. Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia, 2017.
Baca panduan pengurusan ubat - Centers for Disease Control and Prevention (CDC). Diabetes Care During Emergencies.
Baca panduan penjagaan diabetes - Centers for Disease Control and Prevention (CDC). Mold Clean Up Guidelines and Recommendations.
Baca panduan pembersihan kulat - Centers for Disease Control and Prevention (CDC). Natural Disasters: Safety Guidelines.
Baca panduan keselamatan bencana - World Health Organization & UNHCR. Technical Brief on Health, Climate & Displacement.
Baca dokumen WHO dan UNHCR