Bahagian 2 — Apa Berlaku Apabila Kandungan Usus Berada Lebih Lama di Dalam Kolon?
Dalam Bahagian 1, kita berhenti pada satu persoalan: jika seseorang makan setiap hari tetapi hanya buang air besar setiap dua atau tiga hari, apa sebenarnya yang berlaku di dalam kolon sepanjang tempoh tersebut?
Untuk menjawabnya, kita perlu melihat kolon bukan sekadar sebagai tempat najis menunggu untuk dikeluarkan. Di dalam kolon terdapat komuniti mikroorganisma yang sangat besar dan aktif. Selagi kandungan usus berada di situ, mikroorganisma ini terus menggunakan bahan yang tersedia dan menghasilkan pelbagai metabolit.
Di sinilah masa transit kolon (colonic transit time) menjadi penting. Kajian oleh Roager dan rakan-rakan menunjukkan bahawa masa transit kolon berkait dengan komposisi dan metabolisme mikrobiom. Transit yang lebih panjang dikaitkan dengan peralihan metabolisme kolon daripada fermentasi karbohidrat ke arah katabolisme protein, bersama peningkatan metabolit urin tertentu yang berasal daripada metabolisme protein.[1]
Pada pandangan pertama, mungkin ini tidak kedengaran begitu penting. Karbohidrat atau protein, bukankah kedua-duanya hanya sumber makanan kepada bakteria?
Sebenarnya, perbezaan yang lebih menarik bukan sekadar pada apa yang bakteria gunakan, tetapi apa yang mereka hasilkan selepas itu.
Apabila bakteria menggunakan karbohidrat
Kebanyakan karbohidrat yang mudah dicerna sudah diserap di usus kecil. Namun, serat tertentu, kanji rintang (resistant starch) dan karbohidrat lain yang tidak dapat kita cerna sepenuhnya akan sampai ke kolon. Di sinilah bakteria mengambil alih sebahagian daripada proses tersebut.
Fermentasi bahan-bahan ini menghasilkan asid lemak rantaian pendek (short-chain fatty acids, SCFA), terutama asetat, propionat dan butirat. SCFA bukan sekadar “sisa” bakteria. Butirat merupakan sumber tenaga penting kepada sel kolon, manakala SCFA turut terlibat dalam fungsi lapisan penghalang epitelium usus serta regulasi imun mukosa dan sistemik.[2]
Jadi di sini berlaku satu hubungan yang menarik. Kita makan sesuatu yang tidak mampu kita hadam sepenuhnya, bakteria menggunakan bahan tersebut, kemudian menghasilkan metabolit yang sebahagiannya boleh digunakan oleh tubuh kita sendiri.
Tetapi apabila bakteria semakin banyak menggunakan protein?
Protein, peptida dan asid amino yang tidak diserap sepenuhnya juga boleh sampai ke kolon. Bakteria memang memetabolismekan bahan-bahan ini sebagai sebahagian daripada fisiologi normal, jadi fermentasi proteolitik (proteolytic fermentation) bukan sesuatu yang secara automatik buruk.
Namun, hasil akhirnya berbeza.
Fermentasi protein boleh menghasilkan ammonia, sebatian indol dan fenol, p-cresol, hidrogen sulfida, amina dan asid lemak rantaian bercabang (branched-chain fatty acids, BCFA). Tidak semuanya boleh dilabel sebagai “toksin”, dan kesannya bergantung pada jenis metabolit, kepekatan dan keadaan persekitaran usus.[3,4]
Perkara ini menjadi lebih relevan apabila metabolisme proteolitik semakin dominan. Sebahagian metabolit tersebut kekal dan bertindak di dalam kolon, tetapi sebahagian lagi boleh diserap melalui dinding usus.
Apabila ia diserap, ceritanya tidak lagi berhenti di dalam usus.
Kalau hati dan ginjal boleh membuangnya, apa masalahnya?
Ini satu persoalan yang munasabah. Hati dan ginjal memang sebahagian daripada sistem tubuh yang memproses dan menyingkirkan pelbagai bahan. Jadi kalau bakteria menghasilkan metabolit tertentu, hati memprosesnya dan ginjal menyingkirkannya, bukankah itu memang fisiologi normal?
Ya. Tubuh memang mempunyai sistem untuk melakukan semua itu.
Namun, keupayaan tubuh untuk menyingkirkan sesuatu tidak bermaksud jumlah bahan yang dihasilkan dan perlu dikendalikan oleh sistem tersebut langsung tidak mempunyai makna fisiologi.
Indol memberikan contoh yang baik. Bakteria usus boleh memetabolismekan triptofan kepada indol. Sebahagian indol diserap dan dibawa ke hati, kemudian melalui proses metabolik yang menghasilkan indoxyl sulfate. Ia memasuki peredaran darah sebelum disingkirkan melalui ginjal.
Indoxyl sulfate banyak dikaji sebagai toksin uremik yang berasal daripada usus (gut-derived uremic toxin), khususnya dalam penyakit ginjal kronik. Apabila fungsi ginjal terjejas, penyingkirannya berkurangan dan ia boleh terkumpul. Pada kepekatan tinggi, indoxyl sulfate dikaitkan dengan proses seperti tekanan oksidatif, keradangan dan kecederaan ginjal.[5]
Ini tidak bermaksud seseorang yang sihat dan mempunyai transit usus yang sedikit lebih panjang akan mendapat penyakit ginjal kerana bakteria menghasilkan indol. Itu bukan apa yang ditunjukkan oleh kajian.
Tetapi ada satu kajian manusia yang sangat menarik dalam konteks perbincangan ini. Pada 2024, Johnson-Martínez dan rakan-rakan menganalisis data pelbagai omik (multi-omics) daripada individu yang secara umumnya sihat. Kekerapan buang air besar dikaitkan dengan perbezaan mikrobiom usus dan metabolit dalam darah. Kekerapan yang lebih rendah turut dikaitkan dengan paras 3-indoxyl sulfate (3-IS) yang lebih tinggi, dan 3-IS pula berkait secara negatif dengan ukuran fungsi ginjal. Walaupun kajian ini bersifat pemerhatian dan tidak membuktikan bahawa jarang membuang air besar menyebabkan kerosakan ginjal, ia memberikan satu lagi petunjuk bahawa apa yang berlaku di dalam kolon boleh mempunyai kesan metabolik di luar usus.[6]
Itulah sebabnya contoh indol penting. Ia menunjukkan bahawa bahan yang dihasilkan oleh mikrobiom boleh bergerak keluar daripada usus, mengalami transformasi di hati, memasuki peredaran darah dan akhirnya memerlukan organ lain untuk menyingkirkannya.
Ammonia melalui cerita yang sedikit berbeza tetapi menunjukkan prinsip yang sama. Sebahagian ammonia yang terhasil daripada metabolisme nitrogen di usus boleh diserap dan dibawa ke hati, di mana nitrogen diproses terutamanya melalui kitaran urea (urea cycle) sebelum akhirnya disingkirkan melalui ginjal.
Semua ini ialah proses fisiologi normal. Persoalannya bukan sama ada tubuh mampu melakukannya. Persoalannya ialah apa yang menentukan jenis dan jumlah metabolit yang perlu dikendalikan oleh tubuh sejak dari awal.
Jadi bukan “karbohidrat baik, protein jahat”
Saya tidak mahu perbincangan ini akhirnya memberikan gambaran bahawa fermentasi karbohidrat sentiasa baik manakala fermentasi protein sentiasa buruk. Kedua-duanya berlaku secara normal di dalam kolon.
Yang penting ialah keseimbangan persekitaran tersebut.
Apabila serat dan karbohidrat yang boleh difermentasi tersedia, bakteria menjalankan lebih banyak fermentasi sakarolitik (saccharolytic fermentation) dan menghasilkan SCFA seperti asetat, propionat dan butirat. Apabila substrat karbohidrat semakin berkurangan, fermentasi protein dan asid amino boleh menjadi lebih menonjol, lalu menghasilkan profil metabolit yang berbeza.[3,4]
Masa transit menjadi salah satu faktor yang mempengaruhi keadaan ini. Kajian manusia Roager menunjukkan bahawa transit kolon yang lebih panjang berkait dengan peralihan daripada fermentasi karbohidrat ke arah katabolisme protein.[1]
Jadi apabila seseorang berkata, “Saya buang air besar setiap dua atau tiga hari,” soalan yang menarik bukan sekadar sama ada dia memenuhi kriteria sembelit.
Kita juga boleh bertanya: sepanjang 48 atau 72 jam itu, apa yang sedang berlaku kepada kandungan kolon dan apakah yang sedang dilakukan oleh mikrobiom terhadapnya?
Inilah “detox” yang saya maksudkan
Perkataan detox sering digunakan sehingga maksud sebenarnya menjadi kabur. Saya bukan bercakap tentang “toksin yang melekat pada dinding usus” dan perlu dicuci keluar dengan minuman atau produk khas.
Tubuh mempunyai sistem detoksifikasi (detoxification) dan penyingkiran (elimination) yang jauh lebih kompleks daripada itu. Bahan yang perlu dikendalikan boleh datang daripada metabolisme tubuh sendiri, makanan, ubat, persekitaran atau aktiviti mikroorganisma di dalam usus. Sesetengahnya digunakan oleh tubuh, sesetengahnya diubah secara kimia, manakala yang lain akhirnya perlu disingkirkan.
Usus dan mikrobiom merupakan sebahagian daripada rangkaian tersebut. Sesetengah metabolit kekal di dalam saluran gastrointestinal dan akhirnya keluar bersama najis. Sesetengah yang lain diserap, memasuki hati dan peredaran darah, kemudian diproses atau disingkirkan melalui laluan lain termasuk ginjal dan urin.
Sebab itu bagi saya, detoksifikasi bukan sekadar apa yang dilakukan oleh hati atau ginjal selepas sesuatu bahan terbentuk. Kita juga perlu melihat apa yang dihasilkan, bagaimana ia ditransformasikan, bagaimana tubuh mengendalikannya dan akhirnya bagaimana ia disingkirkan.
Dari sudut itu, keadaan di dalam kolon memang menjadi sebahagian daripada cerita yang lebih besar.
Apa berlaku apabila penyelidik sengaja mengubah masa transit?
Hubungan antara transit dengan metabolisme usus bukan hanya dilihat melalui pemerhatian terhadap orang yang mempunyai corak buang air besar yang berbeza. Penyelidik juga pernah sengaja mempercepatkan atau memperlahankan transit dalam sukarelawan sihat untuk melihat apa yang berubah.
Dalam satu kajian eksperimen pada orang dewasa sihat, Lewis dan Heaton mengubah masa transit menggunakan dedak gandum, senna dan loperamide. Apabila transit dipercepatkan dengan senna, berat dan kekerapan najis meningkat dan kepekatan SCFA dalam najis, termasuk butirat, turut meningkat. Apabila transit diperlahankan dengan loperamide, perubahan berlaku dalam arah bertentangan.[7]
Kajian yang lebih baharu memberikan gambaran yang lebih menarik. Dalam kajian silang rawak (randomized cross-over study), Hillman dan rakan-rakan mengkaji 18 sukarelawan sihat dengan sengaja mengubah masa transit keseluruhan usus (whole-gut transit time, WGTT). Peserta menerima loperamide untuk memperlahankan transit dan senna untuk mempercepatkannya, masing-masing selama enam hari dan dalam urutan rawak, dengan selang sekurang-kurangnya 16 hari antara kedua-dua intervensi.[8]
Reka bentuk silang ini menarik kerana peserta yang sama melalui kedua-dua keadaan. Dengan kata lain, penyelidik bukan sekadar membandingkan satu kumpulan manusia yang memang mempunyai transit lebih perlahan dengan kumpulan lain yang mempunyai transit lebih cepat. Mereka mengubah transit dalam individu yang sama dan kemudian melihat apa yang turut berubah.
Hasilnya menunjukkan perubahan pada masa transit keseluruhan usus, kekerapan dan ciri najis serta berat najis. Perubahan transit turut disertai perubahan pada komposisi dan fungsi mikrobiom serta profil asid hempedu. Apabila transit dipanjangkan dengan loperamide, misalnya, kekayaan spesies bakteria dan gen hidrolase garam hempedu (bile salt hydrolase, BSH) meningkat. Banyak perubahan akibat intervensi kembali menghampiri keadaan asal selepas rawatan dihentikan.[8]
Bagi saya, bahagian ini penting kerana ia membantu kita membezakan antara dua perkara. Kajian pemerhatian boleh menunjukkan bahawa masa transit tertentu berkait dengan corak mikrobiom atau metabolit tertentu. Kajian intervensi pula menunjukkan bahawa apabila penyelidik sengaja mengubah masa transit, keadaan biologi di dalam usus turut berubah.
Namun, mesejnya bukanlah bahawa kita perlu mempercepatkan usus sebanyak mungkin. Senna dan loperamide digunakan sebagai alat eksperimen untuk mengubah transit, bukannya sebagai cadangan supaya seseorang mengambil julap untuk memastikan dia membuang air besar setiap hari. Cirit-birit atau transit yang terlalu cepat juga bukan keadaan optimum.
Apa yang kajian-kajian ini bantu tunjukkan ialah sesuatu yang lebih asas: masa kandungan berada di dalam saluran gastrointestinal bukan sekadar menentukan bila kita pergi ke tandas. Ia turut mempengaruhi persekitaran biologi tempat mikrobiom hidup dan bermetabolisme.
Asid hempedu juga sebahagian daripada cerita
Asid hempedu (bile acids) memberikan satu lagi contoh tentang bagaimana usus, hati dan mikrobiom saling berhubung. Asid hempedu dihasilkan daripada kolesterol di hati dan dirembeskan ke dalam usus untuk membantu pencernaan.
Sebahagian besarnya diserap semula dan dikitar melalui peredaran enterohepatik (enterohepatic circulation), manakala sebahagian sampai ke kolon. Di situ bakteria boleh mengubah komposisinya sebelum sebahagiannya akhirnya disingkirkan bersama najis.
Kajian Hillman tadi memberikan bukti eksperimen yang sangat sesuai untuk perbincangan ini. Apabila masa transit diubah, profil asid hempedu dalam najis serta beberapa aspek metabolisme bakteria yang berkaitan dengannya turut berubah.[8]
Ini menunjukkan bahawa pembuangan najis bukan sekadar proses membuang sisa makanan. Ia berada di penghujung satu rangkaian yang melibatkan pencernaan, mikrobiom, hati, kitar semula bahan tertentu dan penyingkiran.
Sebab itu saya melihat buang air besar sebagai satu petunjuk yang mudah dilihat kepada proses fisiologi yang sebenarnya jauh lebih besar.
Jadi, adakah semua orang mesti buang air besar setiap hari?
Saya rasa soalan ini lebih berguna jika kita tidak menjadikannya pertandingan mengejar nombor. Kekerapan sahaja tidak cukup untuk menentukan sama ada seseorang sihat atau tidak, dan seseorang yang tidak membuang hari ini tidak semestinya mengalami penyakit.
Tetapi pada masa yang sama, saya juga tidak fikir kita patut berhenti bertanya hanya kerana seseorang belum memenuhi kriteria diagnostik sembelit.
Daripada pemerhatian klinikal saya selama bertahun-tahun, mereka yang mempunyai sistem penghadaman yang baik dan tidak banyak masalah sangat lazim membuang air besar setiap hari. Apabila seseorang memberitahu saya bahawa dia membuang selang sehari atau setiap dua hingga tiga hari dan berkata, “Memang normal saya macam ni,” saya biasanya akan bertanya sedikit lagi.
Bagaimana dia makan? Cukupkah jumlah makanan dan seratnya? Berapa banyak air yang diminum? Adakah rasa hendak membuang datang secara semula jadi atau selalu ditahan? Adakah najis mudah keluar tanpa meneran? Ada kembung, rasa berat atau tidak selesa? Selepas membuang, adakah terasa selesai?
Kadang-kadang kita akan dapati memang ada sesuatu yang boleh diperbaiki. Ada yang mengambil serat terlalu sedikit, kurang minum, kurang bergerak atau kerap menahan rasa hendak membuang. Ada juga yang sudah mengalami kembung, najis sukar keluar atau rasa tidak puas selepas membuang begitu lama sehingga semuanya dianggap sebagai keadaan biasa.
Inilah sebabnya saya membezakan antara “biasa”, “tidak memenuhi kriteria penyakit” dan “fungsi yang optimum”.
Ketiga-tiganya tidak semestinya membawa maksud yang sama.
Bagaimana pula dengan ekzema?
Dalam Bulan Kesedaran Ekzema ini, saya sengaja membawa perbincangan tentang buang air besar kerana dalam pengambilan kes pesakit ekzema, fungsi gastrointestinal merupakan antara perkara yang saya mahu tahu.
Ini bukan bermaksud ekzema berpunca daripada seseorang tidak membuang setiap hari, ataupun membetulkan buang air besar akan menyembuhkan ekzema. Ekzema jauh lebih kompleks daripada itu.
Namun, hubungan antara usus, mikrobiom, metabolit mikrob, sistem imun dan kulit — sering disebut sebagai paksi usus-kulit (gut–skin axis) — merupakan bidang penyelidikan yang semakin berkembang. Kajian dan ulasan terkini membincangkan bagaimana SCFA, metabolit triptofan dan metabolit mikrob lain mungkin menjadi sebahagian daripada komunikasi antara mikrobiom usus, sistem imun dan kulit. Pada masa yang sama, bukti manusia masih heterogen dan hubungan sebab-akibat belum dapat diterangkan sepenuhnya.[9,10]
Jika seseorang mempunyai masalah kulit keradangan yang kronik dan pada masa yang sama fungsi penghadamannya tidak teratur, saya tidak mahu hanya melihat apa yang berlaku di permukaan kulit. Saya mahu tahu bagaimana dia makan, bagaimana sistem penghadamannya berfungsi dan bagaimana proses penyingkirannya berlaku.
Kadang-kadang sebelum mencari intervensi yang lebih rumit, ada baiknya kita memastikan perkara asas benar-benar berfungsi dengan baik.
Perlukah suplemen?
Asas tetap perlu didahulukan. Pengambilan makanan yang mencukupi, serat dan air, aktiviti fizikal, respons terhadap rasa hendak membuang serta kesihatan sistem penghadaman secara keseluruhan semuanya mempengaruhi keteraturan buang air besar. Sebelum memikirkan tentang suplemen, perkara-perkara asas inilah yang perlu dilihat terlebih dahulu.
Suplemen boleh digunakan sebagai sokongan tambahan mengikut keperluan individu, tetapi bukan dengan tujuan memaksa seseorang buang air besar setiap hari. Ada keadaan apabila kita mahu memberi sokongan kepada kesihatan usus dan mikrobiom, ada yang lebih memerlukan sokongan kepada fungsi penghadaman, dan ada juga yang mungkin memerlukan sokongan nutrisi yang lebih menyeluruh.
Pemilihannya bergantung kepada apa yang sedang berlaku pada individu tersebut dan tidak menggantikan pemakanan yang seimbang, gaya hidup atau rawatan yang diperlukan.
Antara produk yang kami gunakan sebagai sokongan mengikut keperluan ialah Thera Gut untuk sokongan kesihatan usus dan mikrobiom, D’GES Guard untuk menyokong fungsi penghadaman, Imoonumix sebagai sokongan nutrisi dan kesihatan secara menyeluruh, serta Moringa sebagai sokongan nutrisi berasaskan tumbuhan. Olive Leaf Extract pula digunakan sebagai sebahagian daripada sokongan kesihatan menyeluruh mengikut keperluan individu.
Maklumat lanjut mengenai kandungan, fungsi dan cara penggunaan setiap produk boleh dibaca melalui pautan pada nama produk masing-masing.
Matlamatnya bukan untuk mencari satu produk yang boleh membuat seseorang buang air besar setiap hari. Kita mahu mewujudkan keadaan yang menyokong penghadaman, transit usus, mikrobiom dan proses penyingkiran supaya semuanya dapat berlangsung dengan lebih teratur secara fisiologi.
Kembali kepada persoalan asal
Selepas dua bahagian ini, saya masih tidak mahu memberikan satu angka dan berkata bahawa setiap manusia mesti mengikut angka tersebut. Tetapi saya juga tidak mahu kita menggunakan julat “normal” sebagai alasan untuk berhenti bertanya.
Kita tahu makanan merangsang pergerakan kolon. Kita tahu serat mempengaruhi pembentukan najis dan masa transit. Kita juga tahu bahawa masa transit berkait dengan persekitaran tempat mikrobiom hidup, bahan yang digunakan oleh bakteria dan metabolit yang mereka hasilkan. Kajian eksperimen pula menunjukkan bahawa apabila transit sengaja diubah, ciri najis, mikrobiom, metabolit dan metabolisme asid hempedu turut boleh berubah.[1,7,8]
Sebahagian metabolit kekal di dalam usus, manakala sebahagian lagi boleh diserap dan melibatkan hati, peredaran darah serta ginjal sebelum akhirnya disingkirkan.
Jadi bagi saya, keteraturan buang air besar ialah satu bahagian daripada gambaran fisiologi yang lebih besar. Jika seseorang membuang setiap hari dengan mudah, tanpa meneran, tanpa kembung yang berpanjangan dan berasa selesai selepas membuang, itu memberi kita maklumat.
Jika seseorang hanya membuang setiap dua atau tiga hari, itu juga memberi kita maklumat. Ia tidak semestinya diagnosis, tetapi ia wajar membuatkan kita bertanya apa yang berlaku di sebaliknya.
Sebab itu apabila seseorang berkata kepada saya, “Saya memang dua tiga hari sekali. Biasalah,” saya tidak semestinya akan menjawab bahawa dia sembelit.
Saya cuma belum selesai bertanya.
Mungkin akhirnya kita akan dapati tiada masalah yang besar. Mungkin juga kita akan menemui pengambilan makanan yang terlalu sedikit, kekurangan serat atau air, tabiat menahan rasa hendak membuang, kurang pergerakan, masalah penghadaman atau faktor lain yang selama ini dianggap biasa.
Itulah sebenarnya perkara yang saya mahu bawa melalui dua bahagian artikel ini. Sesuatu yang sudah lama menjadi kebiasaan tidak semestinya memberikan jawapan kepada persoalan sama ada tubuh sedang berfungsi pada tahap yang terbaik untuk individu tersebut.
Dan kadang-kadang untuk mula mencari jawapannya, kita tidak memerlukan soalan yang canggih. Kita cuma perlu bertanya satu soalan yang memang biasa ditanya dalam pengambilan kes:
“Buang air besar normal?”
Selalunya jawapannya:
“Normal.”
Tetapi seperti yang kita lihat sepanjang dua bahagian ini, di situlah sebenarnya soalan seterusnya perlu bermula.
“Normal tu… setiap hari atau selang sehari?”
Rujukan
- Roager HM, Hansen LBS, Bahl MI, et al. Colonic transit time is related to bacterial metabolism and mucosal turnover in the gut. Nature Microbiology. 2016;1:16093. doi:10.1038/nmicrobiol.2016.93.
-
Mann ER, Lam YK, Uhlig HH. Short-chain fatty acids: linking diet, the microbiome and immunity. Nature Reviews Immunology. 2024;24:577–595. doi:10.1038/s41577-024-01014-8.
- Windey K, De Preter V, Verbeke K. Relevance of protein fermentation to gut health. Molecular Nutrition & Food Research. 2012;56(1):184–196. doi:10.1002/mnfr.201100542.
- Yao CK, Muir JG, Gibson PR. Review article: insights into colonic protein fermentation, its modulation and potential health implications. Alimentary Pharmacology & Therapeutics. 2016;43(2):181–196. doi:10.1111/apt.13456.
- Huang X, Yang X, Huang J, Tao W, Yu Y, Yu R. Indoxyl sulfate in the gut-kidney axis: from diet-microbiome interactions to renal injury and targeted therapies. Frontiers in Nutrition. 2026;13:1881019. doi:10.3389/fnut.2026.1881019.
- Johnson-Martínez JP, Diener C, Levine AE, et al. Aberrant bowel movement frequencies coincide with increased microbe-derived blood metabolites associated with reduced organ function. Cell Reports Medicine.2024;5(7):101646. doi:10.1016/j.xcrm.2024.101646.
- Lewis SJ, Heaton KW. Increasing butyrate concentration in the distal colon by accelerating intestinal transit. Gut.1997;41(2):245–251. doi:10.1136/gut.41.2.245.
- Hillman EBM, Baumgartner M, Carson D, et al. Changing gastrointestinal transit time alters microbiome composition and bile acid metabolism: a cross-over study in healthy volunteers. Neurogastroenterology & Motility.2025;37:e70075. doi:10.1111/nmo.70075.
- Rios-Carlos M, Cervantes-García D, Córdova-Dávalos LE, Bermúdez-Humarán LG, Salinas E. Unraveling the gut-skin axis in atopic dermatitis: exploiting insights for therapeutic strategies. Gut Microbes. 2024;16(1):2430420. doi:10.1080/19490976.2024.2430420.
- Boldeanu L, Ghenea AE, Novac MB, Galatis V, Pădureanu R, Assani M-Z, Pădureanu V, Mitroi GG, Boicea Camen A-R, Boldeanu MV. Gut microbiome dysbiosis in atopic dermatitis: pathogenic mechanisms, gut–skin axis disruption, and emerging microbiota-targeted therapies. Biomedicines. 2026;14(8):1711. doi:10.3390/biomedicines14081711.
Nota: Artikel ini bertujuan untuk pendidikan kesihatan dan perbincangan fisiologi. Ia bukan pengganti penilaian atau rawatan perubatan bagi gejala gastrointestinal, penyakit ginjal, ekzema atau keadaan kesihatan lain.